Friday, 30 October 2015

Seni Cinta (Bahagian 2)

Hari berikutnya, semua ahli jawatan kuasa program tersebut diundang untuk hadir ke mesyuarat buat kali pertama. Mesyuarat tersebut diadakan di Pusat Komuniti Mahasiswa (PUKA) pada petang hari. Kelihatan semuanya telah hadir.

Muiz gementar. Nurvous!

Maklumlah, ini pertama kali Muiz hadir ke mesyuarat ala-ala persatuan di universiti. Di sekolah dulu, Muiz juga salah seorang daripada pelajar yang aktif berpersatuan atau berprogram. Namun, perubahan keadaan atau lebih tepat disebut sebaai culture shock menyebabkan dia sedikit kekok.

Dengan adanya istilah yang pertama kali didengar, iaitu ‘thiqoh’ membuatkan Muiz terpinga-pinga. Apakah maksudnya? Muiz mencari-mencari. Rupanya apa yang dimaksudkan dengan thiqoh itu berbeza dengan yang difahami. Ianya membawa banyak makna, mungkin?

Mungkinkah dengan membawa makna menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan?
Atau orang yang boleh dipercayai? Atau adanya maksud lain?
Terpulang kepada individu bagaimana menafsirkannya.

Namun, yang jelas pada waktu itu, Muiz memahaminya dengan kefahaman menjaga ikhtilat. Maka, bersungguh-sungguhlah si Muiz ini menjaga. Haha.  Ditambah pula dengan adanya akhawat berpurdah. Betul-betul culture shock.

Mesyuarat dimulakan dengan Ummul Quran, al-Fatihah. Lalu Khairi selaku tuan pengarah ASD meneruskan dengan agenda yang pertama, ta’aruf.

“Mana satu si Umairah ni?”, bisik Muiz dalam hatinya.

“Krioookkkk”, bunyi pintu seolah-olah ada orang yang membukanya. Kelihatan Umairah yang sedang masuk dan menuju ke arah bulatan mesyuarat. Namun, Muiz masih belum mengenalinya.

Assalamualaikum, maafkan ana terlambat. Ana ada urusan lain tadi”, kata Umairah kepada jema’ah.

“Yang ini ke Umairah?”, Muiz berbisik sendirian lagi.
Putaran demi putaran.
Giliran silih berganti.
Tiba giliran Muiz untuk memperkenalkan dirinya.

Bismillah, ana Muhammad Muiz bin Mohamed Husin, tahun satu, takhassus Fiqh wa Usuluh, ditaklifkan sebagai unit publisiti”, sedikit pengenalan daripada Muiz.

“Oh, inilah ketua aku”, Umairah pula berbisik.

“Uhh, lega! Nasih baik tak gagap”, Muiz bermonolog lagi.

Sebenarnya, tika Umairah menghala ke ruangan mesyuarat, dia telah mengambil tempat di awal kitaran akhowat, manakala Muiz berada pada bilangan akhir syabab untuk memperkenalkan diri. Bermakna, selepas Muiz memperkenalkan diri, giliran Umairah pula yang akan menyusul.

Bismillahirrahmanirahim, nama ana Siti Umairah binti Mohd, juga tahun satu, takhassus Fiqh wa Usuluh, ditaklifkan menjadi timbalan kepada unit publisiti, Ustaz Muiz”, ucap Umairah.

“Hah! Laaaa, ini ke timbalan aku. Berpurdah rupanya. Thiqoh tak agaknya eh?”, soalan yan bermain di benak fikiran Muiz tika itu.

Ta’aruf itu berterusan sehingga ke giliran akhir akhawat, iaitu pada giliran Linda, timbalan pengarah program ASD.

Khairi meneruskan lagi kepada agenda yang seterusnya. Pembentangan kertas kerja dan hal-hal berbangkit.

Saat berganti minit.
Minit berganti jam.
Akhirnya, mesyuarat tersebut dapat dihabiskan dalam masa 2 jam 30 minit.

“Alhamdulillah, habis juga akhirnya”, kata Muiz kepada salah seorang sahabatnya yang juga ahli jawatan kuasa program tesebut, Haikal.

ASD semakin hampir. Pesediaan semakin dirapikan. Mesyuarat berganti mesyuarat.

Muiz dan Umairah semakin sibuk dengan poster mereka. Design itu. Design ini.
Pemimpin yang hebat tidak akan muncul dengan hanya berjaya di atas kertas imtihan sahaja tetapi muncul di tengah tengah masyarakat dan bermandi ujian demi ujian dengan tabah dan hasil ini mesti melalui proses pembentukan yang baik. Jom jadi Super Man Daie – kalam Saudara Iman, Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah (PMMUM).
Tarbiyah literalnya bermaksud bertumbuh. Umpama pohon, usai mengakar, ia bertunas. Bertumbuh perlahan namun tetap. Luas dalam tarbiyah pula; murabbi & mutarabbi sama-sama saling bertumbuh. Bertambah baik daripada sehari ke sehari. Berdikit-dikit namun pasti. Melalui Akademi Super Du'at, kita belajar. Belajar untuk 'bertumbuh' dan bertambah baik. Insyaallah! – kalam Saudar Aiman, Timbalan Presiden I Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah (PMMUM).
Berdakwah tidak cukup dengan sekadar menyahut seruan Allah dan RasulNya tetapi perlu kepada ilmu metodologi dakwah berkesan supaya dakwah sampai kepada sasarannya. Justeru Akedemi Super Daie merupakan salah satu medan latihan dan praktikal yang penting buat para du’at untuk memperkemas skill dakwah yang berkualiti ke arah masyarakat muslim yang diredhai. Jadi apa tunggu lagi wahai du’at, jangan lepaskan peluang keemasan ini – kalam Saudari Amirah, Timbalan Presiden II Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah (PMMUM).

Antara tiga kalam pimpinan yang perlu disiapkan oleh Muiz dan Umairah.

Tugasan berganti tugasan.
Kerjasama semakin utuh.

Mereka membahagikan tugasan. Muiz perlu menyiapkan poster yang berkaitan dengan promosi, nametag dan backdrop semasa progam. Manakala Umairah pula perlu menyiapkan logo program dan hal-hal lain yang berkaitan dengan program.

“Maafkan ana tu ustaz. Banyak pula ustaz yang kena buat”, mesej Umairah kepada Muiz.

Antara tugas lain yang perlu Umairah selesaikan adalah print out setiap nametag yang dihasilkan oleh Muiz. Demi mengelakkan perpecahan pada skala gambar (istilah para designer), Muiz berhasrat untuk menyerahkankannya dalam pendrive.

Umairah memberi respon positif dan Muiz berjanji akan menghantarkannya pada esok hari.

Setelah selesai beberapa kerja yang perlu diselesaikan, Muiz bergegas ke katilnya dan terus membuka lipatan hiromnya (selimut tebal). Muiz terus berhayal dan terus menunggu datangnya hari esok.

Bersambung..

Baca sebelumnya:
Seni Cinta (Bahagian 1)

Read more…

Thursday, 29 October 2015

Seni Cinta (Bahagian 1)

"Segera kau dekatkan diri pada Allah, adukan semua masalahmu kepadaNya, berdoalah padaNya, jangan putus asa dengan rahmatNya, hanya Allah yang dapat menolongmu..!", kedengaran ringtone nyanyian Medina feat Umi Pipik yang ditetapkan pada handphone Muiz.

Muiz bergegas mendapatkan handphonenya, lalu dijawab.

Assalamu’alaikum ustaz. Ustaz ke yang Ketua Publisiti Akademi Super Daie (ASD), Ustaz Muiz?”, tanya Umairah.

Wa’alaikumussalam, ya. Siapa ni?”, jawab Muiz sambil bertanya kembali kepada Umairah.

“Ana Ustazah Umairah, timbalan ustaz. Ustaz ada terima apa-apa arahan ke berkaitan dengan jobskop kita?”, tanya Umairah tanpa memanjangkan muqoddimah.

Muiz dengan pantas menjawab, “Maaf, ana masih belum menerima apa-apa arahan daripada Ustaz Khairi”.

“Oh, kalau macam tu tak pe la. Ana cuma nak tanya yang tu je. Kot-kot dah ada kerja yang perlu dibuat. Ana harap kita dapat bekerjasama dengan baik. Terima kasih!”, dengan pantas Umairah meletakkan panggilan setelah selesai membuat panggilan dengan Muiz.

“Hishh, macam syadid je ustazah ni! Seram pulak aku”, Muiz bermonolog.

Hari berganti hari.

Mereka meneruskan tanggungjawab mereka sebagai designer program ASD. Designing? Bukan semudah yang disangka. Apatah lagi Muiz dan Umairah bukanlah pakar dalam bidang tersebut, mereka hanya mencuba nasib setelah diminta jasa baik mereka untuk sertai program tersebut sebagai ahli jawatan kuasa.

Photoshop.
Vegas pro.
Power point.

Mungkin boleh dikategorikan sebagai elemen penting dalam dunia pengeditan, walaupun tidaklah begitu besar penggunaanya atau sumbangannya. Sedikit sebanyak membantu kedua-dua futur yang baru mula melangkah.

Tahun 1 di bumi Syam.
Semester kedua.
Jadual kehidupan masih belum teratur.
Apatah lagi mengenal erti cinta.

ASD semakin hampir. Tarikh semakin mendekat. Poster mula diedit. Idea Muiz sedikit terbantut ketika itu. Tools dalam photoshop yang banyak membuatkan Muiz ingin mencuba segalanya walaupun masih merangkak.

Ops!
Sebenarnya, Muiz banyak belajar ilmu photoshop daripada temannya, Azri. Walaupun mungkin Muiz semakin pro daripada Azri dalam jangka masa yang pendek, akan tetapi Azri merupakan pencetus kepada minat Muiz dalam ilmu kesenian seperti ini. Siapa sangka?

Ding!
Satu facebook message masuk ke dalam akaun Muiz.

“Assalamu’alaikum Ustaz Muiz. Ni gambar pimpinan PMMUM”, terpampar dengan jelasnya tiga orang tokoh hebat PERMATA, iaitu Iman, Aiman dan Amirah yang dihantar oleh Umairah.

“Ana dah call Ustaz Iman Ustaz Aiman. In sha Allah, hari Ahad ni ana bagi ketiga-tiga kalam pimpinan tu ye”, tambah Umairah.

Malunya insan yang bernama Muiz ini, sehingga setiap mesej yang masuk yang dikirimkan oleh Umairah dibalas dengan ‘oke’ sahaja, lagi bersahaja.

“Satu lagi ustaz, Ustazah Linda nak poster tu 4 May nanti. Kalau ada apa-apa nak minta tolong, just bagitahu ana. In sha Allah, ana cuba bantu”, Umairah menambah lagi.

Muiz meneruskan dengan sifatnya yang malu. Hanya ‘oke’ yang dibalasnya.

Bunga mula berkembang. Kelopaknya mula membuka dan mengeluarkan harumannya.

Astaghfirullah, Muiz! Apa kau ni?!”, Muiz bermain dengan perasaan sendiri.

Bersambung..

Baca selanjutnya:
Seni Cinta (Bahagian 2)


Read more…

Sapaan Arab

Bismillahirrahmanirrahim!

Suatu ketika, aku tak pasti tanggal berapa, aku disapa oleh seorang pemuda Arab. Situasi ini berlaku di Solah 'Abasi (salah satu kafeteria yang wujud dalam universiti) di dalam perkarangan Universiti Mu'tah. Waktu itu jam lebih kurang 12.15 tengah hari. Solah dibuka tepat jam 12 tengah hari.


Tika aku disapa, kami (aku dan pemuda tersebut) dalam barisan ke kaunter pengambilan makanan selepas pembayaran. Pada awalnya, pemuda Arab tersebut memotong barisan kami (sangkaan aku dan aku yakin). Dia kata, pelajar Filipina yang memotong turn dia. Aku buat selamber tanpa menghiraukannya.

Tetiba pemuda tersebut membuka bicaranya dengan mengarahkan persoalannya kepada aku.

"Sodiq, apa makna 'tonggek'?", pemuda itu bertanya dengan nada yang perlahan agar tidak didengari oleh orang di sekelilingnya.

"Hah?! Soalan apa yang dia tanya ni!", aku bersuara dengan memalingkan muka ke arah sahabat aku yang beratur di belakang seolah-olah ingin mendapatkan jawapan yang ditanya. 

Aku dalam keadaan acuh tak acuh ketika itu. Aku cuma memikirkan, siapa yang mengajar pemuda itu setahap demikian?! Bukan sekadar pertanyaan itu sahaja, banyak lagi dengan pertanyaan lucah lain. Cuma aku nak ringkaskan.

Apa yang aku tahu, perkataan tersebut adalah perkataan pasar yang agak buruk yang digunakan oleh bangsa yang bergelar melayu. Apakah?! Tidaklah sampai terlalu terkesima, sebab aku dah cukup masak dengan perangai sebahagian Arab yang melampau. Dengan 'ailahnya, puaknya dan macam-macam lagi.

Aku tak mahu buruk sangka dengan bangsa aku sendiri. Tapi kan, bangsa aku yang wujud di Mu'tah ini boleh dikatakan kesemuanya dalam bidang Syariah dan Kesusasteraan Arab. Bila sebut pelajar agama, faham-fahamlah sendiri kan?! 

Mungkin dia belajar daripada syeikh google. Mungkin, siapa tahu kan?

Aku hanya hairan, kalau benarlah pelajar Melayu yang berstatus pelajar agama yang bertindak mengajar pemuda tersebut dengan kalimah-kalimah yang tidak sepatutnya, di mana kredibiliti agamawan anda? Ada yang mengajar hiwar yang baik-baik, itu biasa.

Kita adalah cermin kepada masyarakat kita. Jika kita tunjuk yang buruk-buruk,
maka buruklah pandangan dan perspektif orang luar kepada bangsa kita. Aku bukanlah Abang Naqib yang mampu memberi kata-kata gempak, tapi aku juga punya sense.

Nasib baik pemuda Arab tak sempat nak bertanya aku takhassus apa. Tapi aku rasa majoriti penduduk Mu'tah dah maklum kot tentang pelajar Malaysia yang 'agamawan'.

'Tonggek' je pun, kau ni!
Alah, biasa la tu!
Bukannya buruk sangat pun!

Oke, tapi aku sensitif dan bagi aku tetap tidak elok diajarkan kepada bangsa luar. Cukuplah memadai dan difahami bangsa sendiri. Tak payah nak tunjuk sangat pada bangsa luar yang kita pun kaya dengan bahasa pasar.

Sekian.

The Real Amir
0816 | Mudarraj 6, MU
29 Oktober 2015

Read more…

Monday, 26 October 2015

Hujan

Bismillahirrahmanirrahim!

Kebiasaannya, jam 7.15 pagi aku telah berangkat keluar dari rumah menuju ke rumah sahabat-sahabat aku di Darr Legoland (majoriti daripada mereka adalah pelajar yang berasal dari negeri Johor) sebelum ke jamiah (universiti). Kami sentiasa berkumpul di sana terlebih dahulu untuk berangkat bersama-sama (ukhwah katakan). Haha. 

Hari ini cuaca begitu mendung dan seterusnya hujan. Kami mula berjalan menuju ke persimpangan empat berhampiran dengan pekan Mu'tah untuk menempah (akid) van. Kadang-kadang, nasib kami baik sekiranya van terus tiba di hadapan rumah atau koster (bas kecil) yang tetiba lalu melintasi kami. Malangnya, ianya tidak berlaku pada hari ini. Maka, mengorak langkahlah kami menuju ke persimpangan tersebut dalam renyaian hujan rahmat.

Tunggu dan terus menunggu. Sebuah koster yang datang dari arah pekan menghampiri kami. Malangnya penuh dan terlalu padat penumpangnya. Kami bersepakat untuk tidak menaikinya. Sabar dan terus bersabar. Akhirnya, datang seorang pak cik Arab yang sudi menumpangkan kami dengan keretanya sehingga ke dalam perkarangan jamiah.

Hujan.
Dingin.
Lopak.

Alhamdulillah, rezeki yang tidak disangka-sangka. Kami dapat ke jamiah dalam keadaan yang baik sesuai dengan perancanganNya.

“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk mencari suatu pengetahuan (agama), Allah akan memudahkan baginya jalan menuju surga”. (Sahih Bukhari)

Pada awalnya, kami segan untuk memulakan perbualan dengan pak cik tersebut. Kami cuma mendahulukan dengan ucapan 'syukran' sahaja. Lalu, pak cik tersebut yang memulakan perbualan dengan kami.

"Kamu semua takhassus syariah?", tanya pak cik Arab itu. "Ya!", kami menjawab. Dek kerana kesuntukan masa (waktu kami menaiki keretanya, jam sudah hampir 8 pagi dan kelas akan bermula), kami tidak sempat untuk memperkenalkan nama masing-masing. Pak cik Arab itu terus bertanya directly tanpa membuka apa-apa persoalan tentang kami, "Toyyib! Soalan, apakah perbezaan di antara 'الغيث' dan 'المطر'?". Kedua-duanya bermaksud hujan jika dinisbahkan ke dalam bahasa melayu. Lalu aku membalas, "Ini pertama kali aku mendengar kalimah tersebut". Tahu apa yang dibalas oleh pak cik Arab tersebut? "Jika demikian, kamu tidak pernah membaca al-Quran kerana kalimah tersebut ada di dalam al-Quran", katanya.

Tergamam.
Membisu seketika.
Terasa deep di dalam jiwa.

Bukanlah bermaksud kami benar-benar tidak membaca al-Quran, tetapi kurang penghayatan akan kalam Tuhan sehingga tidak sedar kalimah tersebut wujud di dalamnya. Insaf seketika. Betapa aku sedar, selama ini aku kurang bertadabbur dengan ayat-ayatNya sedangkan aku seorang pelajar Syariah. Syariah pada bidang, tetapi praktikalnya kurang.

Pak cik Arab tersebut meneruskan syarahannya. Beliau berkata, kalimah 'الغيث' tidak disebut di dalam al-Quran kecuali pada tempat-tempat yang diberikan nikmat dan rahmat Allah, disertai dan didatangkan dengan kebaikan.


وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِنْ بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنْشُرُ رَحْمَتَهُ
Maksudnya: "Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata".
Surah as-Syura : 28


ثمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وفيه يعصرون 
Maksudnya: "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya".
Surah Yusuf : 49

Seterusnya, beliau meneruskan lagi pada syarahan yang berkaitan dengan 'المطر'. Beliau berkata, kalimah tersebut tidak disebut di dalam al-Quran kecuali pada tempat-tempat yang diberikan azab dan siksaan Allah.


وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ مَطَرًا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ
Maksudnya: "Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan".
Surah al-A'raf : 84


وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِنْ سِجِّيلٍ مَنْضُودٍ
Maksudnya: "Dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu".
Surah Hud : 82

Tiba-tiba aku mencelah, "Adakah pak cik guru?". Beliau menjawab dengan santai, "Ya, aku guru di peringkat tinggi (دراسة العليا)". Apa yang sampai pada kefahaman aku, beliau seorang guru Master atau PhD. Aku merancakkan lagi perbualan sebelum tiba di halaman idari (kafe, pejabat pos dan sebagainya), "Guru Pengajian Islam?", tanya aku kepadanya. "Bukan. Aku guru Bahasa Inggeris", pak cik Arab menjawab. Aku bermonolog, "Guru Bahasa Inggeris?! Serius mantap. Bukan sekadar ilmu dunia, ilmu akhirat pun padu!". Semoga Allah sentiasa menurunkan rahmatNya ke atas beliau.

"Siapa yang Allah kehendaki menjadi baik, maka Allah akan memberikannya pemahaman terhadap agama". (Sahih Ibnu Majah)

Perbualan kami di teruskan mengenai beberapa isu semasa yang cuba aku timbulkan. Apa yang ingin cuba aku sampaikan, selebat mana hujan itu turun, betapa susahnya keadaan kita dalam perjalanan menuntut ilmu, selagi kita berkehendak kepadanya, Allah akan permudahkan segalanya untuk kita. Contohnya, situasi kami yang telah aku ceritakan tadi. Ditambah pula dengan ilmu yang diberikan oleh pak cik Arab itu. Tampak remeh, tetapi tidak semua orang tahu mengenai dua kalimah yang berbeza penggunaannya.

Terima kasih Allah kerana Kau mengurniakan kepada kami ilmu melalui pak cik ini. Moga ianya bermanfaat untuk kami. 

"Jazakallahu khairan jaza' pak cik", ucap aku kepadanya. Perbualan kami terhenti di sini dan kami bergegas menuju ke dewan kuliah kerana kemungkinan doktor (pensyarah) telah tiba dan memulakan pengajarannya.

The Real Amir
1627 | Darr el-Aliff
26 Oktober 2015

Read more…