Persatuan Mahasiswa Mutah Jordan |
BUANGLAH UNDI ANDA!
Saya menganggap mengundi adalah wajib bagi setiap orang kerana dengan membuang undi menunjukkan bahawasanya kita cakna akan sesebuah organisasi di mana kita berada di bawahnya. Namun, bagi kami di sini bukanlah bererti bahawa kami keluar mengundi untuk mempertahankan apa yang dan apa yang batil. Bahkan, sukar bagi kami pada hakikatnya untuk memilih dan menentukan siapa yang paling layak untuk memegang sesuatu jawatan yang ada itu. Ya, benar! Calon-calon yang bertanding sesi kali ini hebat-hebat belaka. Malah, bagi saya sendiri sukar untuk menentukan siapa yang lebih patut/layak ditabalkan bagi beberapa jawatan.
HARAPAN
Apa yang saya harapkan daripada Pilihan Raya Kampus kali ini adalah tidak kira sesiapa pun yang dilantik mentaklifkan sesuatu jawatan samada beliau merupakan pilihan kita atau tidak, sentiasalah memberi dokongan dan juga sokongan yang padu demi melihat Permata yang satu. Sokongan dan dokongan ini bukanlah hanya semasa berkempen sahaja, bahkan seharusnya dititik beratkan oleh kita dengan harapan dapat membantu pemimpin-pemimpin kita ke arah merealisasikan 'Kerana Kita Keluarga Permata' yang mana ianya menjadi 'trade mark' kami dalam persatuan.
Saya juga sangat mengalu-alukan bagi mereka yang tidak sehaluan atau lebih sesuai saya menggunakan kalimah 'tidak sekepala' dengan saya dalam menentukan bagaimana kepimpinan Permata yang harus ada pada sesi akan datang kerana setiap orang berhak memiliki pendapatnya masing-masing ke atas sesuatu perkara. Namun, ianya hanyalah dengan tujuan yang satu, iaitu dalam melihat Permata ke arah 'Permata Baru'. Ya, Permata Baru!
Al-Hamdulillah, saya telah berjaya menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang pengundi dan sebagai rakyat yang bernaung di bawah 'Kerajaan Permata'. Kita sebagai hamba sekadar merancang, namun ada yang lebih berhak menentukannya, Allah SWT. Dialah sebaik-baik perancang dan Dialah Yang Maha Penentu ke atas segala macam hal.
Saya sebagai penulis memohon kemaafan sekiranya bicara saya ini mencetuskan ketidak puas hatian kepada mana-mana pihak. Kalam ini hanyalah hasil daripada pemikiran saya yang lemah dan dari diri yang kerdil serta dhaif yang tidak lekang daripada berbuat silap.
*Esok (21 Desember 2013) merupakan hari 'Family Day' bagi batch saya, doakan supaya berjalan dengan lancar hendaknya.
Sollu 'Alannabi Muhammad SAW.
Kalam Amir
Darr al-Firdaus
20 Desember 2013 | 1555 - Jordan
0 comments:
Post a Comment