Tuesday, 17 December 2013

Oh! Sakitnya mereka!

11.12.2013 - Salji pertama Desember
14.12.2013 - Salji kedua Desember

Salji turun lagi pada hari ini untuk kedua kalinya dalam tahun ini (Desember 2013).

Ya, memang sejuk! Semua pelajar Malaysia mengakuinya dan tidak terkecuali juga penduduk setempat di Jordan. Di sebalik kegembiraan kita dalam menyambut 'perayaan salji', adakah kita meluangkan sedikit masa untuk berfikir keadaan mereka?


Layakkah kita mengadu, "Errrgghh, sejuknya! Aku tidak tahan! Aku tidak mahu keluar rumah!", "Eh, kau tolong belikan aku barang dekat kedai boleh? Aku malas nak keluar, sejuk sangat!", "Weh, kenapa kau tidak pasang sobah (pemanas), kau tidak sejuk?" dan bermacam-macam rengekan lagi.

Oh, manusia! Sesungguhnya kau memang benar-benar melupakan mereka seolah-olah hanya kau sahaja yang merasainya dengan segala perlengkapan yang cukup. Mereka? Cukup? Serba lengkap?


Mereka tidak mampu untuk mengadu kepada dunia. Mereka tidak mampu untuk mengungkapkan segalanya. Hanya keimanan yang utuh dan juga sabar yang menjadi peneman buat mereka. 


Pernahkah kita merasai bagaimanakah perasaan bila mana lari dari negara kita sendiri? Itulah mereka. Dulunya yang tiada gelaran, memiliki gelaran. 'Pelarian', itulah gelaran atau label yang diberikan oleh kita kepada mereka. 

Sebagaimana maklum, 'Syita' atau musim sejuk pada tahun ini lebih teruk daripada sebelumnya. Sungguh, ujian buat mereka.

Oh, sakitnya mereka yang beratapkan kain khemah lalu runtuh dihempas timbunan salji. 
Oh, sakitnya mereka yang hanya berselimutkan sehelai kain nipis.
Oh, sakitnya mereka yang hanya memanaskan badan dengan ezos kenderaan.
Oh, sakitnya mereka yang hanya beralaskan tikar.
Oh, sakitnya mereka yang tidak mempunyai segala kelengkapan yang cukup.
Oh, sakitnya mereka!


Adikku, maafkan abangmu yang terkadang terlupa akan keperitan hidupmu.
Ibuku, maafkan anakmu yang terkadang terlena diulik tilam empuk bercadar elektrik.
Ayahku, maafkan anakmu yang tidak mampu memikul tangungjawab dalam membantumu menjaga keluarga yang kedinginan.

Maafkan saudaramu wahai keluargaku!


Dengan menatap setiap helaian gambar milikmu adikku, cukup untuk menjatuhkan linangan 'permata' dari kelopak ini. Ternyata kamu lebih hebat dan kuat dalam menjalani ujian ini. Tidak diriku! 

Harta terkadang tidak mampu untuk dihulurkan kepada mereka. Doa? Ya, itu pun sudah memadai daripada tidak melakukan apa-apa. Namun, jika doa ditambah dengan bantuan, hanya Allah yang mampu menilai ibadah ini.

Masih layakkah kita mengadu domba? Masih pantaskah kita hanya menjadi seorang pemerhati?

Sedarilah daripada mimpi indahmu!

اللهم انصر الإسلام والمسلمين في سوريا وفلسطين ومصر وفي انحاء العالم، اللهم آمين

0 comments:

Post a Comment