Friday, 20 December 2013

Doa Sebelum Salam Dalam Solat

Pernah ketika di mana saya masih berada di bangku sekolah Maahad Amir Indra Petra, sewaktu menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya meneruskan pembelajaran saya dengan mengambil kelas Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) buat sementara waktu sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur di mana salah satu subjek yang terdiri daripada subjek-subjek STAM adalah al-Hadis. 'Madah' ini diajar oleh Ustaz Munir yang mana juga berkelulusan daripada salah sebuah universiti di Jordan.

Gambar Hiasan
Antara hadis yang sempat saya pelajari ketika itu adalah hadis yang berkaitan dengan doa selepas tahiyat akhir sebelum salam. Ustaz Munir begitu 'asyik' dalam menerangkan kelebihan doa tersebut sebelum salam dalam solat. Dan saya juga 'asyik' dalam mendengar syarahan Ustaz mengenai doa tersebut.
Daripada Aisyah R.A: Sesungguhnya Nabi SAW berdoa di dalam solat:
اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسيحِ الدَّجَّال،وأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من المأثمِ والمَغْرَمِ
"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah masih ad-dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hambatan dosa dan hutang". (HR Bukhari dan Muslim)
Ustaz terus menerus mensyarah mengenai hadis tersebut sehinggalah tiba doa yang terakhir dalam hadis tersebut iaitu 'Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hambatan dosa dan hutang'. Ustaz cuba membawa kami menyelami doa berlindung daripada hambatan hutang ini. Ini dapat dilihat daripada doa yang diajar oleh Nabi SAW yang berbunyi:
"Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang. Lalu Baginda ditanya: Mengapa Tuan sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab, "Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari". (HR Bukhari)
Subhanallah! Sekarang saya mengerti mengapa Ustaz menekankan doa ini sehinggakan ada kalam yang disampaikan oleh beliau masih saya ingat sehingga sekarang. "Nok gi mano gak gaduh-gaduh dale smaye? Dapat ko baco doa ni tok sapa brapo minit jah!", kata Ustaz. Katanya ringkas namun penuh makna. 

Hutang? Oh, semoga Allah melindungi kita daripada bebanan hutang. Bila kita perhatikan makna hutang daripada perspektif Islam, ada hadis Nabi SAW yang menyebut mengenai hutang dengan jelas. Antara hadis Nabi SAW yang bermaksud:
"Diampunkan semua dosa bagi orang yang mati terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)" (HR Muslim)
"Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamkannya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya” (HR Bukhari)
Allahu Akbar! Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Nabi begitu cerah dan jelas mengenai hutang sehinggakan orang yang mati syahid juga tidak terampun dosanya dek kerana hutang. Oleh itu, apa yang mampu saya katakan adalah lebih baik jika kita mampu, elaklah daripada berhutang kecuali jika benar-benar dalam keadaan yang sarat dan kesempitan. 

Ustaz, terima kasih kerana mendedahkan saya tentang doa ini. Alhamdulillah, saya menghafalnya dan mengamalkannya dalam solat. Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa Ustaz dalam mengenalkan saya mengenai ilmu ini. Syukran a'la kulli hal.

Maaf jika penulisan saya ini ada yang kurang tepat atau kurang memuaskan. Saya hanya manusia yang kerdil yang begitu cetek ilmunya. Sebarang penambahan atau komentar amatlah dialukan. Jazakumullah khoiron jaza'. 

Kalam Amir
Darr al-Firdaus, Mutah
20 Desember 2013 | 2003 - Jordan

Read more…

Pilihan Raya Kampus (PRK) Permata - Pengundian

Persatuan Mahasiswa Mutah Jordan
20 Desember 2013 merupakan hari di mana kami (Pelajar Malaysia yang bernaung di bawah Organisasi Permata dan juga MPMMJ) membuang undi bagi pilihan raya peringkat kampus (persatuan) di Mutah khususnya, Jordan umumnya. Seperti mana kebanyakan, pilihan raya ini hanyalah dijalankan setahun sekali. Oleh itu, saya kira wajiblah ke atas kita untuk menjalankan amanah yang dititpkan ke atas kita sebagai pengundi bagi memilih atau menentukan bakal Presiden Permata 2014/2015 khususnya dan juga kabinet-kabinet lain.

BUANGLAH UNDI ANDA!

Saya menganggap mengundi adalah wajib bagi setiap orang kerana dengan membuang undi menunjukkan bahawasanya kita cakna akan sesebuah organisasi di mana kita berada di bawahnya. Namun, bagi kami di sini bukanlah bererti bahawa kami keluar mengundi untuk mempertahankan apa yang dan apa yang batil. Bahkan, sukar bagi kami pada hakikatnya untuk memilih dan menentukan siapa yang paling layak untuk memegang sesuatu jawatan yang ada itu. Ya, benar! Calon-calon yang bertanding sesi kali ini hebat-hebat belaka. Malah, bagi saya sendiri sukar untuk menentukan siapa yang lebih patut/layak ditabalkan bagi beberapa jawatan. 

HARAPAN

Apa yang saya harapkan daripada Pilihan Raya Kampus kali ini adalah tidak kira sesiapa pun yang dilantik mentaklifkan sesuatu jawatan samada beliau merupakan pilihan kita atau tidak, sentiasalah memberi dokongan dan juga sokongan yang padu demi melihat Permata yang satu. Sokongan dan dokongan ini bukanlah hanya semasa berkempen sahaja, bahkan seharusnya dititik beratkan oleh kita dengan harapan dapat membantu pemimpin-pemimpin kita ke arah merealisasikan 'Kerana Kita Keluarga Permata' yang mana ianya menjadi 'trade mark' kami dalam persatuan. 

Saya juga sangat mengalu-alukan bagi mereka yang tidak sehaluan atau lebih sesuai saya menggunakan kalimah 'tidak sekepala' dengan saya dalam menentukan bagaimana kepimpinan Permata yang harus ada pada sesi akan datang kerana setiap orang berhak memiliki pendapatnya masing-masing ke atas sesuatu perkara. Namun, ianya hanyalah dengan tujuan yang satu, iaitu dalam melihat Permata ke arah 'Permata Baru'. Ya, Permata Baru!

Al-Hamdulillah, saya telah berjaya menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang pengundi dan sebagai rakyat yang bernaung di bawah 'Kerajaan Permata'. Kita sebagai hamba sekadar merancang, namun ada yang lebih berhak menentukannya, Allah SWT. Dialah sebaik-baik perancang dan Dialah Yang Maha Penentu ke atas segala macam hal. 

Saya sebagai penulis memohon kemaafan sekiranya bicara saya ini mencetuskan ketidak puas hatian kepada mana-mana pihak. Kalam ini hanyalah hasil daripada pemikiran saya yang lemah dan dari diri yang kerdil serta dhaif yang tidak lekang daripada berbuat silap. 

*Esok (21 Desember 2013) merupakan hari 'Family Day' bagi batch saya, doakan supaya berjalan dengan lancar hendaknya.

Sollu 'Alannabi Muhammad SAW.

Kalam Amir
Darr al-Firdaus
20 Desember 2013 | 1555 - Jordan

Read more…

Thursday, 19 December 2013

Belajar Tentang Ikhlas

"Orang yang telah disediakan rumah tentu tak akan suka duduk di tempat sampah".

Maka, lakukanlah berbagai amal soleh antara dirimu dan Allah secara rahsia. Jangan memperlihatkannya kepada keluarga sekalipun. Jadikan amalmu sebagai simpanan di sisi Allah yang akan engkau dapatkan di hari kiamat.

Ketahuilah bahawa nafsu sangat senang jika amalnya disebut-sebut dan dipuji. Bahkan, ada di antara mereka yang berpuasa selama empat puluh tahun sementara keluarganya tidak mengetahui.

Sungguh usia yang cemerlang dan bening. Wahai orang yang tidak makan gandum kecuali yang sudah disaring, engkau juga harus menyaring amal. Ingatlah, amal yang melekat kepadamu adalah amal yang kau lakukan dengan ikhlas, sedangkan yang lainnya akan disingkirkan.

Inilah kehidupan yang sebenarnya. Betapa indah kehidupan sang pecinta bersama sosok yang dicinta ketika tidak ada orang lain yang melihatnya. Jika masing ingin ada yang melihatnya bererti cintanya belum tulus. Setiap orang yang ingin ahwal-nya diketahui bererti ia telah tertipu.

Layakkah jika engkau memperbaiki sisi lahir, tapi engkau merosak sisi batin?

Engkau seperti seorang yang berpenyakit lepra yang memakai baju baru, tapi dalamnya mengeluarkan nanah.

Engkau sibuk memperbaiki apa yang terlihat manusia, namun tidak memperbaiki kalbu sebagai tempat Tuhan bersemayam.

[Ibnu Atha'illah dalam Taj Al-'Arus]

Read more…

Wednesday, 18 December 2013

Pilihan Raya Kampus (PRK) Permata - Kempen


4 Desember 2013, tarikh bermulanya percalonan bagi kerusi-kerusi yang ada dalam kabinet Permata. Persatuan Mahasiswa Mutah Jordan (Permata) adalah sebuah organisasi yang bernaung secara rasmi di bawah Education Malaysia Jordan. Pilihan Raya Kampus (PRK) ini mengambil tempoh hampir lebih kurang dua minggu dalam gerak kerja dan perlaksanaanya dengan adanya tempoh percalonan, berkempen dan mengundi.

Bukanlah saya ingin menceritakan secara 'total/detail' berkenaan PRK ini. Saya hanya ingin menekankan beberapa etika atau akhlak yang perlu ada pada diri setiap insan yang bergelar penuntut ilmu atau pelajar agamawan (Pelajar 'Adab' juga termasuk pada kiraan saya). Saya tidak menyatakan ketidakpuas hatian saya kepada individu-individu tertentu. Namun, saya tidak nafikan ada segelintir di kalangan kami (di sini) yang bersikap sedemikian. "Ala..biasa la tu! Manusia..tak lari daripada berbuat silap..". Ya, betul! Tetapi bukan kesilapan yang dilakukan dengan cara yang sengaja, titik!

KHILAF KAMI

Khilaf pada asalnya adalah rahmat bagi manusia. Berbeza pendapat itu biasa. Menghargai pandangan itu berkat. Yang penting dengan niat yang sama-sama murni ingin melihat Permata sesi 14/15 akan datang lebih cerah dan maju jauh ke hadapan. Bukan memecahkan di antara kita. Bukan melonggarkan lagi tali ukhwah para mahasiswa Mutah. 

Dan khilaf itu tidak salah sama sekali. Pada pendapat saya, apa yang salah semasa mengemukakan khilaf itu adalah bagaimana cara kita melontarkan khilaf tersebut. Dan semestinya ia bersangkut paut dengan 'Akhlak' para pengkhilaf. Saya akui bahawa tidak semua insan mampu terima segala kekhilafan kita secara total. Ada yang berpegang sedemikian, ada yang berpendapat sebegitu dan bermacam perbezaan lagi. Namun, haruskah perbezaan yang tidak murni ini dijadikan sebagai pencetus 'Revolusi Pergaduhan Agamawan'? Oh, tidak (Na'uzubillah min zalik).

BERPADALAH!

Tidak bermakna jika saya mengatakan sedemikian, saya melemahkan pihak lain. Oleh itu, berpadalah. Jangan terlampau me'naik'kan seseorang itu. Kerana bimbang akan ketidak mampuan peribadi tersebut dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kelak. Amanah? Sungguh berat! 

MANIFESTO

Suka saya menyebutkan di sini bahawa terkadang kita tidak memerlukan manifesto untuk bertanding. Bukanlah bermakna sesorang yang tidak mempunyai manifesto itu tidak layak dalam mengendalikan sesebuah organisasi. Bahkan manifesto itu menunjukkan bahawa dasar atau tujuan/matlamat seseorang yang ingin dibawa dalam sesi mendatang. 

Pada sudut pandangan saya, saya bersetuju dengan Saudara Azim (Calon Presiden Permata 14/15) semasa sesi Dialog Bersama Calon Presiden dan Presiden II semalam yang dianjurkan oleh SPR yang mana beliau ada menyebut (secara mafhum) bahawa manifesto baginya tidak diperlukan, cukuplah dengan melaksanakan manifesto-manifesto yang masih belum dilaksanakan atas sebab-sebab yang tertentu.

Namun, saya juga sangat bersetuju dengan Saudara Muizzuddin (Calon Presiden Permata 14/15) yang berkata (secara mafhum) bahawa kekadang manifesto yang kita perjuangkan sekarang belum tentu menjadi keperluan pada masa akan datang. Manifesto Calon Presiden belum tentu sama dengan tujuan manifesto Calon Timbalan Presiden II yang sememangnya memerlukan kombinasi di antara mereka kelak. Mampukah Presiden dan Timbalan Presiden II 'melunaskan' segala apa yang dijanji kepada rakyat dengan lambakan manifesto-manifesto? Oh, manifesto!

Saya memiliki pilihan saya yang tersendiri bagi diundi pada hari mengundi nanti dan hari tersebut jatuh pada Jumaat minggu ini bersamaan 20 Desember 2013. Semoga saya mampu membuat pilihan yang terbaik untuk melihat Permata yang lebih 'berkilau' kelak, in sha Allah.

*Hari terakhir berkempen untuk calon, semoga dipermudahkan.

Kalam Amir
Darr al-Firdaus
18 Desember 2013 | 1738-Jordan

Read more…

Tuesday, 17 December 2013

Oh! Sakitnya mereka!

11.12.2013 - Salji pertama Desember
14.12.2013 - Salji kedua Desember

Salji turun lagi pada hari ini untuk kedua kalinya dalam tahun ini (Desember 2013).

Ya, memang sejuk! Semua pelajar Malaysia mengakuinya dan tidak terkecuali juga penduduk setempat di Jordan. Di sebalik kegembiraan kita dalam menyambut 'perayaan salji', adakah kita meluangkan sedikit masa untuk berfikir keadaan mereka?


Layakkah kita mengadu, "Errrgghh, sejuknya! Aku tidak tahan! Aku tidak mahu keluar rumah!", "Eh, kau tolong belikan aku barang dekat kedai boleh? Aku malas nak keluar, sejuk sangat!", "Weh, kenapa kau tidak pasang sobah (pemanas), kau tidak sejuk?" dan bermacam-macam rengekan lagi.

Oh, manusia! Sesungguhnya kau memang benar-benar melupakan mereka seolah-olah hanya kau sahaja yang merasainya dengan segala perlengkapan yang cukup. Mereka? Cukup? Serba lengkap?


Mereka tidak mampu untuk mengadu kepada dunia. Mereka tidak mampu untuk mengungkapkan segalanya. Hanya keimanan yang utuh dan juga sabar yang menjadi peneman buat mereka. 


Pernahkah kita merasai bagaimanakah perasaan bila mana lari dari negara kita sendiri? Itulah mereka. Dulunya yang tiada gelaran, memiliki gelaran. 'Pelarian', itulah gelaran atau label yang diberikan oleh kita kepada mereka. 

Sebagaimana maklum, 'Syita' atau musim sejuk pada tahun ini lebih teruk daripada sebelumnya. Sungguh, ujian buat mereka.

Oh, sakitnya mereka yang beratapkan kain khemah lalu runtuh dihempas timbunan salji. 
Oh, sakitnya mereka yang hanya berselimutkan sehelai kain nipis.
Oh, sakitnya mereka yang hanya memanaskan badan dengan ezos kenderaan.
Oh, sakitnya mereka yang hanya beralaskan tikar.
Oh, sakitnya mereka yang tidak mempunyai segala kelengkapan yang cukup.
Oh, sakitnya mereka!


Adikku, maafkan abangmu yang terkadang terlupa akan keperitan hidupmu.
Ibuku, maafkan anakmu yang terkadang terlena diulik tilam empuk bercadar elektrik.
Ayahku, maafkan anakmu yang tidak mampu memikul tangungjawab dalam membantumu menjaga keluarga yang kedinginan.

Maafkan saudaramu wahai keluargaku!


Dengan menatap setiap helaian gambar milikmu adikku, cukup untuk menjatuhkan linangan 'permata' dari kelopak ini. Ternyata kamu lebih hebat dan kuat dalam menjalani ujian ini. Tidak diriku! 

Harta terkadang tidak mampu untuk dihulurkan kepada mereka. Doa? Ya, itu pun sudah memadai daripada tidak melakukan apa-apa. Namun, jika doa ditambah dengan bantuan, hanya Allah yang mampu menilai ibadah ini.

Masih layakkah kita mengadu domba? Masih pantaskah kita hanya menjadi seorang pemerhati?

Sedarilah daripada mimpi indahmu!

اللهم انصر الإسلام والمسلمين في سوريا وفلسطين ومصر وفي انحاء العالم، اللهم آمين

Read more…