فَأَمَّا الَّذِينَ شَقُوا فَفِي النَّارِ لَهُمْ فِيهَا زَفِيرٌ وَشَهِيقٌ
Adapun orang yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka. Di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas (dengan terpekik dan merintih).
[Surah Hud : 106]
Ayat ini menerangkan betapa azabnya azab yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang dusta akan ayat-ayat-Nya dan zalim. Di dalam surah ini, Allah menceritakan kisah-kisah umat terdahulu yang binasa akibat perbuatan mereka yang dusta kepada ajaran-ajaran nabi mereka sebagaimana kaum Thamud yang dusta pada Nabi Soleh 'Alaihissalam, kaum 'Aad yang dusta kepada Nabi Hud 'Alaihissalam, penduduk Madyan yang berdusta kepada Nabi Syu'aib 'Alahissalam dan beberapa yang lain.
Sepulangnya aku daripada masjid setelah menunaikan solat maghrib, lantas aku membuka lembaran cinta Allah kepada umatnya, al-Quran. Teringat sejenak kepada pesanan Tok Guru al-Quran aku semasa di bangku sekolah yang tidak lain dan tidak bukan bapa saudara kepada aku sendiri, Ustaz Rofizi. Sebelum aku berlepas merentasi lautan dan awangan, beliau sempat berpesan pada aku agar jangan pernah tinggalkan al-Quran terutama seusai solat maghrib. Biasakanlah dengan al-Quran. Namun, kekadang aku alpa dengan pesanan ini. Maafkan aku.
Sejujurnya, apakah perasaan yang bakal timbul jika kamu membaca peringatan yang diberikan oleh Allah ini? Jikalau ditanya akan aku, lantas aku menjawab aku akan menangis kerana takutnya dengan azab tersebut. Dengan amal yang belum mantap, zikir? Uh, jauh sekali. Kekadang hanya mampu solat sahaja. Allah, hinanya aku dihadapan-Mu. Jika dengan air mata dapat membuatkan kamu kembali kepada fitrah sebagai seorang hamba, maka menangislah. Menangislah sehingga kamu berasa tenang dengan aliran kilauan suci daripada matamu. Sungguh, itulah yang aku rasakan setelah berbuat demikian. Kerana aku tahu, dengan air mata dapat membuatkan aku lebih semangat dalam menjadi hambanya yang ikhlas dalam beribadah juga penuh dengan ketaqwaan. Besar pahala bagi mereka yang menangis kerana takutkan Allah.
BERUNTUNGLAH KAMU
Sangat beruntung mereka yang mempunyai hati yang begitu lembut dan tenang dalam menjalankan tanggungjawab. Kerana apa? Kerana setiap hal yang mereka kerjakan, mereka akan menangis takutkan azab. Mereka tidak egois. Mereka tidak takut dikatakan 'pondan' kerana pada hakikatnya, ini adalah lumrah dan sifat manusia. Kenyataan yang menyatakan bahawa 'lelaki kuat tidak menangis' adalah sama sekali bertentangan dengan lumrah manusia. Cuba perhatikan manusia yang paling agung di atas muka bumi ini, Rasulullah SAW. Beliau seorang yang gagah perkasa, namun mempunyai hati yang begitu lembut. Hatta Nabi Muhammad SAW sendiri menangis dalam solatnya memohon keampunan untuk ummatnya. Siapa? Muhammad SAW! Untuk siapa? Ummatnya! Lantas, 'aku' bagaimana?
Akhir kalam, menangislah! Lembutkan hatimu dengan menangis. Kerana tangisan air mata seorang pentaubat mampu menggugurkan dosanya.
Kalam Amir
Darr al-Firdaus, Mu'tah
10 January 2014 | 1944
0 comments:
Post a Comment