Wednesday, 12 February 2014
- Posted By: Unknown
- Comments: No comments
Syurga Kasih Ibu
Ya, jarak beribu-ribu batu antara kami membuatkan ingatanku pada ibu semakin mekar bagaikan bunga. Ibu yang tidak pernah mengeluh dalam membesarkan kami adik beradik. Seorang ibu yang begitu tegar dalam meneruskan kehidupan ditambah pula membesarkan anak-anak yang degil seperti kami tanpa suami di sisi. Bagiku, ibu adalah yang terbaik buat kami. Cukup hanya ibu yang menjadi ibu kami.
'Ma' adalah gelaran si anak kepada si ibunya. Membesarkan kami adik beradik dengan penuh perasaan kasih dan sayang yang tidak terhingga. Ibu jugalah yang meleraikan kami adik beradik di saat kami bergaduh dengan diberinya nasihat untuk kami. Ya, kami tahu ibu sangat penat dan lelah melayan karenah kami tetapi ibu tidak pernah menonjolkan perasaan resah ibu itu. Maafkan kami jika kami tidak dapat menjadi anak-anak yang ibu harapkan.
Ibu juga tidak pernah membiarkan kami kelaparan. Diberinya makanan sehingga kami kekenyangan. Bukan makanan yang biasa-biasa, bahkan makanan yang kami sendiri inginkan walaupun ibu hanya mengalas perut ibu dengan ikan rebus dan sedikit ulam-ulaman. Apa yang kami inginkan, ibu sentiasa berusaha untuk memenuhinya. Tidak pernah ibu mengecewakan kami. Maafkan kami jika kami bersikap terlalu melampaui batas sebagai seorang anak duhai ibu.
Namun, permintaan ibu tidaklah sebanyak seperi mana permintaan kami kepadanya. Ibu hanya menginginkan kami untuk menjadi seorang anak yang soleh juga solehah. Anak yang soleh dan juga solehah adalah harta yang sangat berharga buat ibu kerana dengan sedemikianlah yang dapat membantu ibu di sana kelak. Kami sayu kerana kami takut tidak dapat menunaikan permintaan ibu. Walau bagaimana sekali pun, kami berharap agar kami tidak mengecewakan ibu. Maakan kami duhai ibu.
Ibu, di hari yang penuh barakah ini, kami memohon seinfiniti kemaafan daripada ibu di atas segala karenah dan tindak tanduk yang kadang kala mengecewakan ibu. 'Selamat Ulang Tahun' kami ucapkan kepada ibu. Barakallahu fik. Semoga Allah memberikan kedamaian dan ketenangan hati kepada ibu dan juga semoga Allah menempatkan ibu di kalangan mereka yang ahli-ahli syurga di akhirat sana kelak, In Sha Allah.
Ibu, syurga kami berada di bawah telapak kaki ibu. Siapalah kami tanpa ibu di sisi. Ibu yang telah mengandungkan kami sembilan bulan lamanya dan seterusnya membesarkan kami. Ibu jualah yang menjadi guru pertama kami dalam mengenal tuhan. Terima kasih di atas segala penat lelah yang telah ibu curahkan dalam menjadikan kami orang-orang yang berguna. Terima kasih ibu! Kami sayang ibu hingga ke syurga sana. Ibulah permata buat kami. Kilauan permata ibu sentiasa berada di hati kami, In Sha Allah.
Abang Long - Abang Ngah - Kak Chik - Adik Najie
Darr al-Firdaus, Mu'tah
12 Februari 2014 | 1315 - Jordan
0 comments:
Post a Comment