Bismillahirrahmanirrahim..
[30 Januari 2014 - 7 Februari 2014]
Sebuah perjalanan yang mengambil masa hampir 27 jam untuk tiba ke destinasi yang tidak pernah sunyi sebagai 'Pusat Perlancongan' oleh berjuta-juta penduduk seantero dunia. Sebuah destinasi yang sangat diingini oleh setiap manusia yang bergelar muslim untuk berkunjung padanya. Sebuah destinasi yang sangat didambakan oleh sang pendosa dalam meraih cinta dan rahmat daripada-Nya. Dalam bermonolog, terlintas tanya hati, "Layakkah aku?". Namun, keizinan Allah mengatasi segalanya. Ya, kerana Allah mengizinkannya.
|
Di Miqat Bi'r Ali |
|
Dalam Perjalanan Ke Masjidil Haram |
Cinta-Nya yang ku dambakan. Ku hamparkan sujudku hanya untuk-Nya. Ku linangkan air mataku hanya pada-Nya. Kerana Dia Yang Maha Mengetahui apa yang terbuku di kalbu kecil lagi hitam ini. Sang pendosa yang penuh dengan noda. Hanya pada-Nya aku merintih. Kerana hanya Dia Yang Maha Mendengar segala isi hati sang hamba. Dia, Allah Yang Esa!
MAKKAH AL-MUKARRAMAH
Detik perjalanan ini sangat memakan masa dan tenaga dalam badan. Ditambah pula dengan kondisi kusyen bas yang membuatkan segala jenis tulang rusuk bagaikan hendak reput dan patah. Namun, itu semua tidaklah menjadi penghalang buatku. Segala kekuarangan itu dapat ku terima dengan seadanya. Kerana cinta-Nya yang ku dahagakan.
Dalam itu, aku hanya mampu berdoa, "Sampaikanlah aku di tanah itu Ya Allah!" dengan penuh pengharapan. Kerana bila-bila masa sahaja ajal itu akan tiba. Dan aku bersyukur atas izin dan rahmat-Nya. Hanya kalimah 'Bismillahi Allahu Akbar' yang mampu aku tuturkan pada bibirku di saat Kaabah benar-benar berada di hadapanku, di hadapan kedua biji mataku yang dulunya tidak pernah lekang daripada melihat sesuatu yang maksiat kepada-Nya. Aku menangis. Aku tidak menghiraukan walau sesiapa sekali pun melihatku dalam keadaan tersebut. Salahkah sang pendosa seperti aku menangis kerana dosa-dosa lampau?
Kaabah yang dulunya hanya mampu ku lihat melalui media massa, kini ku lihat dengan penuh kagum dan takjub. Masjidil Haram yang dulunya ku idamkan untuk menziarahinya, kini ku dapat merasai bagaimana nikmatnya apabila diizinkan untuk solat di dalamnya. Ya, dengan duit membolehkan kita untuk ke sana Akan tetapi ingatlah pada hakikatnya, Dia yang menentukan dan Dia yang mentakdirkan pada hamba-hamba-Nya dengan keredhaan-Nya.
Dari Jabir R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Satu
sambahyang di masjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid
yang lain, kecuali Masjidil Haram (di Mekah); dan satu sembahyang di Masjidil
Haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang
lain". (HR Imam Ahmad)
Sesuai dengan galakan daripada Baginda Nabi Muhammad S.A.W, berpusu-pusu ribuan manusia malah mungkin berjuta-juta manusia menghala kepadanya, iaitu Masjidil Haram. Cinta agung kepada-Nya membuatkan kami selaku hamba-hamba-Nya yang hina sedikit pun tidak membuatkan kami berasa kepenatan dek kerana jarak hotel dan Masjidil Haram yang agak jauh sedikit. Namun, aku bersyukur kerana pada awalnya hotel yang kami perolehi lebih jauh berbanding hotel yang kami peolehi selepas beberapa masalah yang timbul semasa check-in hotel. Segala puji bagi-Nya yang memudahkan segala urusan kami semasa berada di sana. Al-Hamdulillah, ianya semakin memudahkan kami dalam melaksanakan segala ibadah kepada-Nya.
HAJARUL ASWAD (BATU HITAM)
Dari Ibnu Abbas R.A, dikatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Hajarul Aswad daripada batu-batuan syurga dan tidak ada suatu benda daripada bumi yang turunnya daripada syurga selain batu itu".(HR Tabrani)
Siti Aisyah R.A mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Nikmatilah (peganglah) Hajar Aswad ini sebelum diangkat
(dari bumi). Ia berasal dari syurga dan setiap sesuatu yang keluar dari syurga
akan kembali ke syurga sebelum kiamat”.
Di saat seluruh manusia berebut dalam mendapatkannya, aku hanya berdoa kepada Yang Maha Esa agar diberikan peluang ini kepada aku. Aku berjalan bahkan dihimpit dengan penuh tenang oleh kebanyakan orang kerana aku yakin, jika Dia mengizinkan, tidak ada sesuatu sekali pun yang dapat menghalang kehendak-Nya.
Beberapa langkah sebelum tibanya di Hajarul Aswad, aku berhenti sejenak di tepian Kaabah. Aku memegangnya. Detik itu jualah air mata ini bergelinangan mengenang dosa-dosa yang telah dikerjakan tanpa sedikit perasaan takut kepada-Nya. Astaghfirullah! Jauhnya hamba dari-Mu Ya Allah! Segala dosa terlintas di benak fikiranku. Dosa manakah yang tidak aku kerjakan?! Aku melihat orang-orang di sekelilingku juga sedemikian. Memohon keamapunan daripada-Nya dengan penuh penyesalan, dengan menggunakan bahasa mereka tersendiri.
Lantas, tanpa melengahkan masa, aku terus menuju ke arah batu tersebut dengan air mata yang masih berbaki di pipi. Langkah demi langkah, aku terus mencuba walaupun dihimpit dek badanku yang kecil ini. Kalbu hanya mampu menyiapkan diri dan terus berdoa, "Ya Allah, izinkanlah aku untuk mengucup batu itu. Izinkalah dengan kehendak-Mu. Izinlah aku untuk menjadi di kalangan mereka yang beruntung".
Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah! Dia mengizinkan aku. Aku mengecapinya. Aku mengucupnya dengan penuh rasa hiba di hati kecil ini. Al-Hamdulillah, Dia menggolongkan aku di kalangan mereka yang bertuah. Thummal Hamda Lillah.
Perasaan sedih itu kembali lagi apabila melakukan tawaf wida' di saat hendak meninggalkan Kota Suci Makkah. Aku melambai-lambai Kaabah dan berdoa semoga masih diberi kesempatan untuk ke sana lagi, In Sha Allah.
MASJID QUBA'
|
Masjid Quba' |
Jarak antara Makkah dan Madinah lebih kurang 400 kilometer. Sebelum tibanya di Madinah, rombongan Umrah kami sempat untuk singgah di sebuah masjid putih yang diberikan nama Masjid Quba'. Masjid Quba’ adalah masjid pertama dibina Rasulullah S.A.W sesampainya di Madinah Munawwarah. Quba’ diberi nama sempena nama telaga disitu. Oleh kerana masjid pertama dibina maka ia mempunyai keistimewaan walaupun tidak sebanding Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tapi ia tetap ada keunikannya.
Dari Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Barangsiapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah". (HR Ibn Majah)
JABAL UHUD (BUKIT UHUD)
|
Jabal Uhud |
Bukit ini adalah sebuah bukit yang pernah menjadi medan peperangan antara umat Islam dengan kaum kafir Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan manakala tentera Islam dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. Di dalam peperangan ini, Rasulullah telah membahagi tentera Islam kepada 3 kumpulan; pasukan kanan dan kiri berhadapan dengan musuh manakala sepasukan memanah ditempatkan di jabal uhud.
|
Jabal Uhud - Bahagian Pasukan Memanah |
Peperangan ini menunjukkan kepada kita bahawa harta bukanlah segalanya. Tentera Muslimin yang berada dalam pasukan memanah akhirnya turun daripada bukit tersebut kerana dahagakan harta yang telah ditinggalkan oleh kaum Musyrikin tanpa mengendahkan arahan yang telah diberikan oleh Rasulullah S.A.W yang memerintahkan agar tidak turun daripada bukit tersebut sebelum mendapat perintah daripada baginda. Akhirnya, tentera kaum Musyrikin menyerang balas kembali kepada tentera Muslimin apabila mereka melihat tentera kaum Muslimin telah turun daripada bukit tersebut dengan menyerang secara hendap daripada belakang yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid (sebelum memeluk Islam), seorang ketua tentera berkuda Quraisy.
MADINATUL MUNAWWARAH
Sebuah masjid yang terdapat di dalamnya Makam Khotimul Anbiya' Sayyidina Muhammad S.A.W dan dua orang sahabat Baginda; Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Omar. Makam baginda dan kedua sahabat baginda benar-benar berada di bawah kubah hijau (lama) masjid tersebut. Sebuah masjid yang terdapat di dalamnya Raudhah.
|
Mihrab Nabi Muhammad S.A.W dalam Raudhah |
Raudhah juga tidak terlepas daripada 'serbuan' para kunjungan daripada pelbagai bangsa. Raudhah terletak di antara rumah Rasulullah S.A.W dan juga Sayyidatina Aisyah R.A dengan mimbar baginda. Sekarang, rumah baginda telah pun menjadi makam baginda dan kedua orang sahabat. Nama bagi Raudhah telah diberikan oleh Rasulullah S.A.W sendiri. Bagi memasuki kawasan Raudhah ini, para jemaah berduyun-duyun menujunya untuk melaksanakan amal ibadah. Sebagai tanda, kawasan Raudhah ini ditandai dengan karpet bewarna hijau.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Di antara rumahku dan mimbarku adalah raudhah (taman) diantara taman-taman syurga dan mimbarku berada pada telagaku (di syurga)". (Hadis Riwayat Bukhari)
Hal yang sama aku lakukan ketika berdoa dalam menuju Raudhah, "Ya Allah, izinkanlah aku mengerjakan amal ibadah di dalamnya". Al-Hamdulillah, aku memperolehi sebanyak 4 kali dalam memasuki kawasan tersebut. Sebuah kawasan yang dikabulkan doanya. Namun, di sini juga aku belajar betapa nikmatnya jika dalam merebut Raudhah ini, masih lagi dapat berkongsi dengan orang lain. Ya, bukan senang dalam 'perarakan' manusia menuju ke tempat yang sama masih lagi sempat berkongsi tetapi itulah hakikatnya. Kita menghormati orang dan orang pula yang akan menghormati kita. Alangkah indahnya, dalam berbahagi tetapi masih menjaga adab dan sama sekali tidak aku nafikan bahawa ada yang bertekam lidah sesama muslim dalam merebut Raudhah ini. Masing-masing hendak keselesaan tersendiri. Ruang sujud yang mencukupi dan sebagainya. Itulah lumrah!
|
Makam Nabi Muhammad S.A.W dan kedua sahabat Baginda; Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Omar |
Sedih masih lagi berlegar dalam hati kecil ini saat diberikan kesempatan untuk menunaikan solat dalam Raudhah yang mana sebelahnya terletaknya Makam Nabi Muhammad S.A.W yang teramat kita rindui. Susuk tubuh yang pastinya yang trlebih dahulu merindui kita berbanding kita umat akhir zaman. "Assalamu 'alaika Ya Rasulullah", ucapan yang keluar daripada bibirku di saat melewati makam baginda dengan linangan air mata yang bercucuran di pipi.
Manakan tidak, susuk tubuh yang kita sayangi dan cintai tanpa pernah melihatnya walaupun hanya sekali dapat kita ziarahi pada akhirnya. Sepanjang aku berada di Madinah, aku sering menziarahi makam Baginda kerana aku khuatir tidak berkesempatan lagi untuk ke sana. Malunya aku pada Baginda, seorang umat yang jarang mengikuti sunnahnya tetapi dengan mudah mengaku mencintai Baginda. Layakkah aku mendapat syafaat Baginda di sana kelak? Layakkah aku ke syurga-Mu Ya Allah?
PERKUBURAN BAQI'
Perkuburan ini terletaknya di belakang Masjid Nabawi yang mana didiami oleh para sahabat Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Aku juga berkesempatan untuk menziarahi perkuburan ini beberapa kali kerana ianya hanya dibuka ketika adanya kematian dan waktu melawatnya hanyalah pada selepas subuh dan asar. Apa yang boleh dikatakan, sepanjang aku berada di Madinah mahupun Makkah, setiap hari pasti akan ada beberapa kematian dan pastinya akan disolat di kedua-dua haramain ini. Di kedua-dua kota ini sentiasa mengingatkan aku akan kematian yang mana pada bila-bila masa sahaja akan dijemput oleh-Nya. Siapkah aku? Ya, aku juga teringin dicabut nyawaku di saat aku mengerjakan amal ibadah ditambah pula berada di tanah suci ini. Namun, pastikah aku bahawa syurga untukku? Kecapikah aku akan rahmat-Nya?
Di perkuburan ini terdapatnya jasad para isteri Nabi kecuali Siti Khadijah yang dikebumikan di perkuburan Ma'ula di Kota Suci Makkah, Imam Malik, para Ahlul Baiyt, para syuhada dan banyak lagi.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda:“Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi(ketika hari kebangkitan), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian giliran penghuni Baqi’ yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram”.
Tanah Haramain pasti aku merinduinya. Di kala hati tidak tenang, di sanalah yang menenangkan aku kerana 'adanya' Baginda S.A.W di Madinah dan aku berasa hampir dengan-Nya ketika di Makkah. Tanah yang pasti akan ku kembali dengan izin-Nya. Mendambakan cinta Yang Maha Agung dan cinta dari kekasih-Nya. Tanah yang mengembalikan semangat yang dulunya hilang. Tanah yang penuh dengan kesuburan iman dan taqwa. Mudah-mudahan, diri ini akan ke sana lagi demi cinta kepada Khaliq dan Baginda S.A.W.
Benarlah kata Pak Long, bahawasanya seseorang itu sangat rugi jika bertandang ke sini namun ianya tidak menangis.
Kalam Amir
Darr al-Firdaus, Mu'tah
12 Februari 2014 | 0621 - Jordan
Read more…