[Repost from blog www.syabab197.blogspot.com]
26 Mei 2013
Ok, “Jaulah Fanzuru”, apakah itu? Mungkin ada yang di kalangan kita tidak tahu apakah maksud kalimah itu. Biar bagaimana pun, ada juga yang tahu. Namun, rasanya tidak salah bagi saya untuk menerangkan kembali apa maksudnya.
Kalau dalam Bahasa Arab, ianya ditulis sedemikian “جولة فانظروا”! Jaulah bermaksud “Pelancongan” manakala Fanzuru bermaksud “Maka Lihatlah” yang mana ianya berasal daripada fe’el amar (فعل الامر). Fe’el amar ini menunjukkan “Perintah”. Sebenarnya Fanzuru adalah nama bagi pelancongan yang diadakan ini. Jadilah ia sebagai “Pelancongan Maka Lihatlah”. Mesti ada yang di kalangan kita berasa pelik dan aneh maknanya. Jaulah ini diberi nama sedemikian kerana ianya sangat sesuai dengan hadaf (tujuan) yang sebenar diadakan jaulah ini yang mana tidak lain tidak bukan adalah melihat kekuasaan Allah SWT. Maka lihatlah! Kita bukan hanya sekadar melancong, tetapi kita mengambil ibrah dan iktibar daripada ciptaan Allah dan kekuasaan-Nya. Maka lihatlah keagungan-Nya yang Maha Besar itu dengan penuh kerendahan diri. Subhanallah!
Jaulah ini adalah anjuran oleh sebuah BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri) di Jordan yang bernaung di bawah MPMMJ. BKAN Johor! Jaualah selama 3 malam 2 hari(kalau tidak silap). Walaupun saya bukanlah ahli rasmi atau sekutu BKAN ini, namun saya melibatkan diri juga dalam jaulah ini. Saya tidak hanya ingin berdiam diri di rumah dengan hanya mengadap buku, lappy, tablet dan etc. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk men”join”kan diri dalam jaulah ini dengan harapan ingin mengambil ibrah dan hikmah di setiap perjalanan jaulah ini. Dan saya sama sekali tidak menyesalinya. Huhu :)
|
Mata air Wadi Musa |
|
Sekitar Wadi Musa |
Bermain bersama-sama, masak sama-sama, mandi sama-sama (syabab sahaja). Pokoknya kami lakukan semuanya bersama-sama. Tiba-tiba rasa macam saya ni dah macam ahli BKAN ni plak!
Mengikut tentafif yang dapat saya lihat daripada salah seorang AJK Jaulah Fanzuru ini, destinasi yang pertama yang kami singgah adalah di Wadi Musa. Kalimah ini adalah dalam Bahasa Arab manakala jika diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris, ianya dikenali sebagai “Valley of Moses”. Berdasarkan sumber yang saya perolehi, ianya adalah nama sebuah pekan yang terletak di Wilayah Aqaba di selatan Jordan pada latitude 30.317N dan longitude 35.483E. Wadi Musa juga dikenali sebagai sebuah pecan yang kecil yang mempunyai banyak hotel dan restoran untuk menyambut para pelancong Petra (saya akan berbicara mengenainya sebentar lagi) dari dalam atau luar negara (Jordan).
Destinasi kami yang seterusnya adalah ke Petra.
Petra adalah perkataan yang berasal daripada Bahasa Greek yang bermaksud batu. Ianya adalah sebuah kota yang bersejarah dan arkeologi yang terletak dalam kawasan pemerintahan Jordan di Ma’an. Petra adalah satu hasil senibina pemotongan batu dan sistem pembuluh air. Ia telah dibina kira-kira pada kurun ke-6 sebagai ibu kota bagi Nabatea, ia merupakan 1 simbol bagi Jordan selain menjadi tarikan pelancong yang paling banyak dilawati. Petra terletak di cerun Gunung Hor dalam lembangan antara pergunungan yang mana membentuk sisi timur Arabah (Wadi Araba), lembah besar yang merentang dari Laut Mati ke Teluk Aqaba. Petra telah dipilih sebagai “Tujuh Keajaiban Baru Dunia” pada tahun 2007 dan “Tapak Warisan Dunia” sejak tahun 1985. Petra juga dipilih oleh BBC (Perbadanan Penyiaran British) sebagai satu daripada “40 tempat yang anda mesti lihat sebelum mati”. Sumber: Internet
Sepanjang perjalanan di dalam kawasan Petra, tersangat banyak ukiran pada batu2 yang sangat menarik perhatian. Saya terfikir sejenak, bagaimana mereka mengukir semua ini? Seriously, saya pun tidak tahu bagaimana caranya. Tapi apa yang jelas, ukiran mereka sangat cantik sehingga menakjubkan ramai pelancong. Perjalanan ini (dalam Petra) mengambil masa lebih kurang 3 jam dan sangat memenatkan (bagi saya). Walaupun berasa penat, semangat untuk explore seluruh Petra itu membuak-buak. Namun apakan daya, 'letih' menjadi alasan untuk saya berhenti di tengah jalan. Bila masuk ke dalam Petra, rasa best. Bila nak keluar balik, penat sangat2 sebab tenaga dah diperah semasa mendaki bukit-bukit di persekitaran Petra ini. Subhanallah! Pemandangan yang tidak terkata.
Hampir 5 jam kami berada di sana. Keluar sahaja Petra, memang terasa nak beli ini, beli itu. Air! Sangat diperlukan ketika hendak ke sini. Namun, bekalan kami tidak mencukupi untuk menampung segala dahaga dan keletihan kami dan terpaksalah kami untuk membelinya di kedai2 yang terdapat di Petra ini. “How much? (sambil menunjukkan botol air mineral)” dan mu’allim itu membalas “One JD (RM 4.50)”! punyalah terkejut. Manakan tidak, really expensive! Memang perit kalau nak beli barang kat sini. Hampir semua barang harganya mahal.
Zohor sudah pun menjelang (12.50pm waktu Jordan / 5.50pm waktu Malaysia), sebahagian daripada kami bersiap sedia untuk solat jama’ qosar agar tidak berebut untuk menunaikan solat nanti. Selesainya solat, perjalanan diteruskan lagi ke Aqaba. Sebelum bertolak ke Aqaba, kami diberikan peluang oleh Driver Coaster untuk melihat pemandangan Petra dari sudut bahagian atas. Bentuknya betul-betul menakjubkan. Kami berehat sebentar di situ sambil menghirup udara segar di atas bukit.
Ok, seterusnya ke Aqaba. Destinasi terakhir kami sepanjang jaulah. Aqabah? Sebuah pantai yang sangat cantik pemandangannya. Dapat melihat pergunungan yang terletak di seberang lautan yang mana ianya juga adalah tanah haram Israel yang asalnya adalah Palestin.
Di sini saya nak selitkan kisah yang berlaku di Teluk Aqaba ini. Sebelum dinamakan sebagai Al-Aqaba, bandar ini telah dikenali dengan nama yang berbeza dalam zaman yang berbeza. Ketika mana kerajaan Edomiah menguasai bandar ini, ia dikenali dengan “Eloth atau Elath” iaitu nama yang diambil dari sejenis pohon palma.
Pada era Yunani, ia dikenali dengan Berenice dan ketika penguasaan kerajaan Rum Byzantium, ia dikenali dengan pelbagai nama. Ketika penghujung zaman kerajaan Byzantium, kawasan ini telah dikuasai pula oleh Arab Ghassan yang beragama Kristian.
Bishop Yuhanna ibn Ruba’a pada ketika itu membayar jizyah pada tahun 631 di Tabuk. Tahun 639 Sayidina Umar al-Khattab singgah di Ayla dan Amru Al’as dikatakan berkubu di sini bersama tentera Islam pada tahun 634 Masihi. Mulai tahun 734 Masihi iaitu ketika zaman pemerintahan kerajaan Islam, bandar ini dikenali dengan nama Aylah.
Era pemerintahan Islam, Aylah menjadi laluan para haji yang datang dari arah Syam. 1024 Masihi, Aylah dirampas oleh Abdullah bin Idris al-Ja’fari dari kerajaan Fatimiah.
Antara tahun 1072-1073 Masihi, kawasan ini dilanda gempa bumi dan pada 1116 Masihi, tentera Salib menguasai Aylah. Sallehuddin al-Ayubi berjaya mengambil kawasan ini pada 1171 Masihi dan kemudiannya jatuh ke tangan tentera Salib semula dan dirampas kembali oleh tentera Sallehuddin al-Ayubi yang diketuai oleh Husamuddin Lu’lu’ pada tahun 1183 Masihi.
Pada kurun ke-16, Aylah lebih masyhur dikenali sebagai Aqaba. Era kerajaan Uthmaniyah, tempat ini seperti ditinggalkan dan kurang berpenghuni. Namun, ia masih di bawah jajahan Turki Uthmaniyah. Keadaan lebih teruk apabila terusan Suez dibina pada tahun 1869 dan landasan Hijjaz siap dibina pada tahun 1908.
Bandar ini kembali semula ke tangan Arab dan mula dihidupkan semula pada 6 Julai 1917 apabila gabungan tentera Arab-British mengalahkan pasukan tentera Turki yang dipimpin oleh Raja Faisal, anak kepada Sharif Hussein yang memimpin The Great Arab Revolt menentang kerajaan Turki Uthmaniyah.
Kini Aqaba telah diisytiharkan sebagai kawasan bebas cukai pada tahun 2002 di bawah pemerintahan Raja Abdullah II dalam kerajaan The Hashemite Kingdom Of Jordan. Nama Aqaba terus kekal digunakan namun nama Aylah yang digunakan pada zaman kerajaan Islam kini digunakan di kawasan seberang Teluk Aqaba yang kini menjadi milik Yahudi Laknatullah. Mereka menamakan bandar tersebut dengan nama “Eilat”.
Menjadi pertanyaan pada kita, adakah kisah Ashabul Sabt berlaku di Aqaba?
Firman Allah SWT di dalam Surah al-A’raf, ayat 163 yang bermaksud:
"Dan bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik."
Ashabul Sabt adalah daripada golongan Yahudi yang menetap di sebuah kawasan bernama Aylah yang terletak di Teluk Bahrul Kholzoum atau dikenali dengan nama Laut Merah (kini dikenali dengan Eilat di Israel yang terletak berdekatan Aqaba di Jordan.
Allah SWT telah mengharamkan ke atas kaum tersebut untuk tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Lalu Allah menguji mereka dengan memperbanyakkan ikan pada hari Sabtu sehinggakan boleh dilihat dengan banyaknya dipermukaan laut. Pada hari yang dihalalkan menangkap ikan, tidak kelihatan pula ikan-ikan di permukaan laut. Puak tersebut telah mengingkari perintah Allah dan tetap menagkap ikan pada hari Sabtu.
Lantaran itu, puak-puak di Aylah terbahagi kepada 3 golongan.
(1) Kelompok yang melanggar perintah Allah dan tetap menangkap ikan.
(2) Kelompok yang melarang mereka menangkap ikan.
(3) Kelompok yang hanya berdiam diri.
Golongan ketiga telah berkata kepada golongan kedua sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-A’raf, ayat 164 yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa."
Kemudian, Allah telah menurunkan azab kepada puak Yahudi tersebut sepertimana firman-Nya di dalam Surah al-A’raf juga, ayat 165 hingga 166 yang bermaksud:
(165) "Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka)."
(166) "Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil endah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera Yang hina."
Semoga kita mengambil iktibar dan ibrah dengan kisah yang telah diterangkan oleh Allah di dalam al-Quran. Dalam kita melancong, sentiasalah kita beringat dengan kisah-kisah / kejadian-kejadian yang menimpa kaum dan umat terdahulu. Mereka inkar lalu Allah terus memberikan azab dan balasan kepada mereka. Umat kita? Maka terlalu beruntunglah kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Kita masih diberi peluang untuk bertaubat meskipun kita banyak langgar perintah-Nya dan setelah melakukan kesilapan. Allahu Akbar! Maka itu, sentiasalah memohon keampuanan pada-Nya (pada diri sendiri dan suhabi sekalian).